PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu melahirkan rasa kagumnya dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan golongan belia negara ini bagi menjayakan program "Himpunan Sejuta Belia 2011" di sini yang bermula semalam sehingga 29 Mei.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyifatkan sikap yang ditunjukkan golongan belia itu sebagai pencapaian yang boleh dibanggakan.
"Yang amat istimewa ialah semangat kesukarelawanan. Saya dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mereka datang sendiri, mereka tidak disediakan apa-apa logistik. Mereka buat khemah sendiri cari tempat, menguruskan pasukan sendiri, biasanya kita kena menanggung dengan perbelanjaan besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak aktiviti 'Himpunan Sejuta Belia', di sini Sabtu.
Muhyiddin juga gembira kerana sambutan itu yang menyasarkan menghimpunkan sejuta belia di Putrajaya sudah dicapai dalam tempoh dua hari walaupun ia berakhir esok.
Katanya sambutan itu akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia menjadi daya tarikan utama kepada golongan belia yang menyediakan ruang untuk mempamerkan kebolehan dan kemahiran mereka dalam bidang yang diminati termasuk sukan, muzik dan kerjaya.
"Saya rasa hari ini istimewa kerana berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehadiran sejumlah yang agak besar belia, sasaran sejuta itu saya dimaklumkan sudah dicapai. Di sini saya merasakan nadi dan jantung belia Malaysia berhimpun di Putrajaya," katanya.
Kemeriahan program Himpunan Sejuta Belia 2011 semakin terasa pada hari ini dengan kehadiran Muhyiddin yang diiringi Ahmad Shabery dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim melawat tapak-tapak aktiviti, bermula dari Persiaran Perdana berhampiran menara Kementerian Belia dan Sukan, dengan menaiki trem khas yang disediakan.
Kalangan belia yang hadir dari seluruh pelusuk negara mengambil kesempatan bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri, sekali gus bersorak menunjukkan kegembiraan mereka terhadap kehadiran Muhyiddin di tapak aktiviti.
Muhyiddin singgah seketika di tapak Sasuke Malaysia yang mempamerkan aksi lasak dan seterusnya ke tapak Karnival Belia Generasi Usahawan untuk melancarkan Program Mentor-Menti Generasi Belia Usahawan-Rakan 4Biz.
Muhyiddin juga menyaksikan dua perjanjian persefahaman (MoU) iaitu antara Jalian Persefahaman Gerak Waris 4B Malaysia dan Pergerakan Puteri Umno serta Gerakan Belia 4B Malaysia dan Global Wellness Foundation.
Ini disusuli dengan lawatan ke Ekspo Pendidikan sebelum beliau singgah di tapak Permainan Cak Lempong 36 jam dan pelancaran Fly 1Malaysia.
Beliau seterusnya melawat tapak MAHA Youth sebelum menamatkan lawatannya di tapak Rentap Futsal yang berjaya menarik penyertaan 1,624 pasukan, sekali gus mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records. - BERNAMA
Link mstar(klik sini)
Link Umno-Online(klik sini)
0 comments:
Post a Comment