Secara khususnya mentor ditakrifkan sebagai kaunselor, pembimbing, tutor, jurulatih atau role model. Manakala mentee pula ditakrifkan sebagai individu yang kurang pengetahuan dan pengalaman atau pelajar. Sejarah asal Mentoring mula diketahui daripada cerita epik The Odyssey yang ditulis oleh Homer dalam zaman Greek kuno. Ia mengisahkan tentang Odysseus yang terlibat dalam peperangan Trojan telah menyarankan kawan setianya yang berpengalaman, iaitu Mentor supaya mendidik dan mengasuh anaknya bernama Telemachus (mentee atau protege) agar anaknya mampu menghadapi alam kehidupan dewasa yang penuh mencabar (Edlind & Haensly, 1985; Merriam, 1983). Dalam zaman Greek, istilah mentoring memberi tumpuan kepada bidang pendidikan (Johnson, et al. 1991; Wanguri, 1996) atau kaunseling (Gregson, 1994), iaitu mentor adalah orang tua yang mempunyai banyak pengalaman dan boleh dipercayai yang telah ditugaskan untuk mendidik orang muda yang memerlukan pengalaman.
Mentor mempunyai peranan utama untuk menasihat mentee pada masa yang tepat, menunjukkan contoh yang baik dan membantu mentee dalam mengembangkan diri perniagaan mereka. Secara umumnya, mentor terlibat sebagai pembimbing secara berterusan dan darjah intensiti perhubungan itu berbeza-beza atau bergantung kepada keadaan, keperluan, perubahan dan tingkat kemajuan mentee. Mentor dilihat sebagai seorang yang rapat atau boleh dijadikan sahabat, boleh dipercayai dan bukannya seorang kaunselor professional. Tugas seorang mentor adalah mencabar kerana mereka dikehendaki mendidik mentee untuk memahami sesuatu tanggungjawab, membiasakan diri dengan sesuatu teknik, berkongsi pengalaman, memenuhi kehendak peribadi dan mengambil berat segala aspek kehidupan mentee. Mentor bertanggungjawab untuk memindahkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang berguna kepada mentee. Mentee yang boleh menguasai pengetahuan,kemahiran dan kebolehan yang dipelajari mempunyai peluang yang besar untuk meningkatkan kerjaya, dan mengembangkan psikososial yang positif (seperti membentuk jati diri, keupayaan menyampai, cekap melaksanakan kerja-kerja dan menjadi contoh teladan yang baik kepada orang lain).
Dalam memilih seorang mentor yang bersesuaian untuk seorang mentee perkara-perkara seperti daya tarikan terhadap mentor juga perlu diambilkira. Dalam konteks ini, daya tarikan merupakan permulaan yang penting di mana mentee tertarik kepada mentor kerana dipengaruhi oleh pelbagai alasan, seperti karakter, keterampilan tertentu, pengalaman, nilai-nilai dan komitmen yang ditunjukkan, pengetahuan, kedudukan dan mempunyai minat yang sama. Sedangkan mentor tertarik kepada mentee kerana sikapnya, serta potensi yang boleh digilap. Dengan meningkatnya daya tarikan ini, maka kepercayaan dan keyakinan akan berkembang dengan baik sehinggalah hubungan menjadi kuat dan rapat.
Mentee pula seharusnya bersedia untuk belajar daripada mentor serta mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya. Begitu pula dengan mentor, harus memberi perhatian yang baik bagi mempercepat dan meningkatkan ilmu dan kemampuan bimbingan
Mentor dan mentee harus saling bertanggungjawab antara satu dengan yang lain kerana ia akan menjamin kemajuan dan keakraban dalam perhubungan. Faktor ini penting untuk menghasilkan suatu komitmen bersama bagi membentuk perubahan dan perkembangan mentee.
Secara keseluruhan, mentor haruslah mempunyai ciri-ciri sebagaimana berikut:
(a) Mentor hendaklah menerima Mentee dengan hati terbuka, penuh keikhlasan;
(b) Mentor mestilah berniat untuk menolong dan berazam membantu mentee sedaya upaya;
(c)Mentor dan mentee mestilah sedar bahawa hubungan mereka adalah hubungan guru-pelajar dan sentiasa menjaga tatasusila, kemasyarakatan dan tidak menyalahi hukum syarak;
(d) Mentor haruslah sentiasa peka kepada apa-apa yang berlaku ke atas Mentee;
(e) Mentor hendaklah memberi pengetahuan yang positif serta memberangsangkan kepada Mentee. Dengan lain perkataan, Mentor perlu memberi bimbingan, nasihat atau kaunseling kepada Mentee
KONSEP MENTOR-MENTEE
Subscribe to:
Posts (Atom)